Lihatlah blog ini, yang tidak mahu ‘ber-update’!! Maaf, tiba-tiba rasa seperti ramai pula pembaca setia yang menuggu cerita terbaru dari blog yang tidak seberapa ini. Anda perasan atau tidak, kini aku sudah mula menulis dalam bahasa melayu yang penuh dan teratur. Ini semua gara-gara ingin menyahut seruan salah seorang ‘blogger’ kegemaran aku yang mengharapkan supaya kita menggunakan bahasa ibunda kita dengan sempurna. Oleh itu, aku akan mencuba untuk tidak menggunakan bahasa pasar disini.
Bercerita tentang kehidupan pula, minggu lepas merupakan minggu yang penuh dugaan bagi aku. Mana tidaknya, dalam kepala masih dibebani dengan pelbagai tugasan dan projek, tidak lupa juga ‘presentation’. Ditambah pula dengan kehilangan ‘hamster’ kesayangan aku yang paling comel, Casmo.
Ketika itu, aku terlalu sibuk mengejar ‘due date’ untuk menghantar laporan projek aku.OLeh itu, aku terpaksa berjaga hingga ke pukul 3 pagi. Ketika itu juga, Casmo buat bising dengan menggigit sangkarnya meminta untuk dilepaskan keluar. Aku tahu dia bosan, dia mahu bermain diluar.
Selalunya, jika Casmo aku lepaskan, aku pasti akan melihatnya bermain dan sekali sekala aku akan menangkap gambarnya yang kurasakan lucu dan comel. Koleksi peribadi aku. Aku suka. Sebab dia anak aku yang comel dan berakal! Walaupun, aku terlepas pandang untuk mengawasinya, Casmo tidak akan bermain jauh. Setelah puas melawat Caslyn dan Molyn dia akan masuk semula kesangkarnya dan tidur. Dia ada mangkuk kegemaran yang sering digunakannya untuk tidur. Bila aku lihat mangkuk itu, hatiku sebak. Cebisan tisu yang aku beri padanya masih ada disitu. Dia juga yang menggonggong tisu itu kesitu.
Sesungguhnya, dia pengarang jantung aku yang satu.
Tetapi subuh itu, kerana aku tahu bahawa Casmo tidak akan keluar dari bilik, maka aku membiarkannya bermain seorang. Cuma sekali-sekala aku akan menjenguk dia dan kembali menyiapkan laporanku. Sangkaanku meleset bila aku toleh ternampak kelibatnya menyusup keluar dari bilikku. Apa boleh buat, dia memang makhluk yang kecil, bawah pintu bilik aku pula besar. Tetapi aku sempat mengambilnya masuk semula. Aku kunci pintu kembali.
Oleh kerana aku sibuk, aku terpaksa letakkan dia kembali kedalam sangkarnya. Cuma silapnya aku, aku tidak kunci sangkar kali itu. Sekali-sekala aku dengar dia menggigit sangkar mahu keluar, aku biarkan dan kembali menyiapkan kerjaku.
Sedang aku leka, tiba-tiba aku terasa angin sejuk masuk kedalam bilik. Rasa seolah-olah pintu tidak bertutup. Bila aku toleh, sangkaan aku tepat! Ya Allah, macam mana boleh terbuka pintu ini, padahal aku dah kunci tadi. Aku bangun menutup kembali pintu. Memang sah aku sudah tutup pintu tadi, kerana tombol pintu masih berkunci. Aku tidak mahu fikir yang bukan-bukan. Aku tutup kembali pintu dan terus ke meja belajarku. Ketika itu hampir ke pukul 4 pagi.
Tidak tahu kenapa, tetapi hati terdetik mahu melihat Casmo. Bila aku buka laci bawah katil, darah aku berderau bila melihat sangkar Casmo terbuka. Aku mencari dia satu bilik, tetapi tidak juga jumpa. Ya Allah, dugaan ini terlalu besar untuk aku hadapi ketika ini.
Aku tidak mahu berputus asa lagi. Aku terus mencari Casmo sekitar blok aku. Aku pergi di tepi-tepi longkang. Aku tidak peduli dengan kereta yang lalu – lalang disitu. Mesti mereka fikir lain bila lihat ada perempuan terkial-kial ditepi longkang pada pagi buta. Aku tidak peduli!
Sedang aku mencari, tiba-tiba mata aku tertumpu pada seekor kucing betina yang sedang bunting. Entah kenapa, kekuatan aku yang tadinya jadi goyah lalu menangis juga aku akhirnya. Kerana, jika aku lambat menemukan Casmo, dia pasti akan dibaham kucing betina itu.
Sesungguhnya Trixy aku mati dimakan kucing.
Tetapi aku cuba untuk tabahkan diri. Jika aku terus menangis, penglihatan aku akan dikaburi dengan air mata. Apatah lagi, ketika suasana gelap begini, pasti sukar untuk aku menemukan Casmo dengan penglihatan yang kabur. Aku terus mencari Casmo sehinggalah siang. Bila kedengaran azan subuh, aku menangis. Aku tahu, sudah terlambat untuk menemukan Casmo. Dari pengalaman aku, jika hamster terlepas mesti usaha menemukannya dalam masa 2jam. Jika lebih dari itu, harapan sangat tipis. Itu pengajaran aku. Oleh itu, aku tahu.
Tapi hati aku sangat degil. Aku terus-terusan mencari kehulu-kehilir sehingga ke pukul 9pagi. Aku yakin pasti budak-budak di blok aku pelik dengan tingkah laku aku. Tidak tahu kenapa, mulut aku ini sangat berat untuk meminta pertolongan mereka. Tapi hati mengharapkan mereka mencari Casmo didalam bilik masing-masing. Manalah tahu, dia leka bermain disitu.
Nasib aku malang hari itu. Mungkin takdir dah tertulis bahawa aku akan kehilangan Casmo jua.
Kenapa hari ini baru aku bercerita? Kerana hari ini, aku sudah boleh menyebut nama Casmo tanpa mengalirkan air mata. Ketika aku mengemas bilik tempoh hari, aku terjumpa bulu Casmo yang aku potong. Bulu dia sangat lebat dan panjang, selepas aku mandikan dia, aku pasti akan potong lebihan bulu yang kurasakan kurang menarik. (Ya Allah, rindunya aku pada memori tersebut).
Kini aku hanya ada gambar, tuala mandi dan cebisan bulu Casmo buat dijadikan pengubat rindu aku. Biarlah orang hendak kata aku ini tidak betul. Jika itu dapat tenangkan hati aku, aku sikit pun tidak ambil peduli. Kerana memori ini, memori aku, bukan mereka. Oleh itu, mereka tidak akan pernah faham.
2 VVIP Readers on "Memori Itu, Memori Aku."
its okay. u still got a lot of hamster to keep!!! haipp! ;)
haaaarrghhh uder....he's one in a millions!!!!!! hmmm...... mesti muka shibi n shibo mcm casmo kan uder!!! tak sabar nk tgk dorg.....nk tgk muka casmo!!! haaaaa....sedihnyer....
Post a Comment